Tanah dirampas jika culas bayar cukai, kata MB Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan merampas tanah mana-mana individu dan pemilik syarikat yang enggan membayar cukai.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu akan dibuat selepas peringatan diberikan dan Notis 6A dan Notis 8A telah dikeluarkan.

Menurutnya, sehingga 18 November lalu, sebanyak 2,967 Notis 6A dan 246 Notis 8A telah dikeluarkan.

"Sebenarnya kerajaan negeri lebih suka jika rakyat Pahang sedar tentang tanggungjawab mereka untuk membayar cukai bagi elakkan mereka dikenakan tindakan tegas.

"Tunggakan hasil merupakan hak kerajaan. Oleh itu, rakyat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk membayar cukai dan kerajaan pula hanya menuntut hak yang sepatutnya," katanya ketika berucap sesi penggulungan pada Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.

Ia sebagai menjawab kepada persoalan semasa sesi perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan (2020) 2019 dan Usul Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air 2020 yang berlangsung selama tiga hari pada 19, 20 dan 21 November lepas.

Wan Rosdy berkata, rakyat harus sedar bahawa hasil yang dikutip sebenarnya akan dipulangkan semula dalam bentuk pembangunan ekonomi yang akan memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat.

"Sehingga 18 November 2019, jumlah tunggakan kutipan hasil ialah kira-kira RM86.82 juta. Daripada jumlah itu tunggakan cukai tanah ialah kira-kira RM72.1 juta; Bayaran Perumahan RM8.89 juta; Bayaran Pinjaman Ternakan RM4.77 juta; Pinjaman Tabung Penjaja dan Peniaga Kecil RM441,000; Sewaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), RM372,000; Sewaan kedai RM231,000 dan sewaan Gerai PLB, RM3,110.

Artikel Berkaitan:

"Kuantan merekodkan jumlah tunggakan cukai tanah paling tinggi iaitu kira-kira RM38 juta dan paling rendah di Cameron Highlands kira-kira RM123,000," katanya.