KDN tidak iktiraf kad MCAC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tidak pernah melantik Agensi Pekerjaan AJZ Sdn Bhd bagi menjalankan aktiviti pendaftaran.

Kementerian itu juga sama sekali tidak terlibat dalam proses pendaftaran, tapisan, temuduga dan pengeluaran kad Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) kepada warga asing.

Menurut kenyataan itu, KDN telah menerima maklumat berhubung kegiatan Agensi Pekerjaan AJZ Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti mengumpul maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad MCAC kepada warga asing terutamanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurutnya, kegiatan itu menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat berikutan dakwaan bahawa kad MCAC dikenakan bayaran yang tertentu dan memberi kebenaran kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia dan bekerja tanpa sebarang ikatan kontrak.

"Kad yang dikeluarkan oleh syarikat ini tidak memberi keistimewaan kepada warga asing seperti yang dijanjikan.

"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 13 November lalu bagi menafikan perkaitan KDN dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu, majikan yang melindungi PATI boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda tidak kurang RM10,000) bagi setiap PATI atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Selain itu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sembilan individu yang terlibat dalam kegiatan pengeluaran kad MCAC di sebuah hotel pada 18 November lalu.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarangpembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa melaksanakan program pendaftaran atau pengeluaran kad kepada warga asing ini," katanya.