X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam Johor terima bonus sebulan gaji

Sahruddin
A
A

KOTA ISKANDAR - Seramai 13,400 penjawat awam negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minima RM2,000.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pemberian inisiatif berkenaan adalah membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM34.78 juta.

Katanya, bantuan khas kewangan itu juga akan dibayar sebanyak dua kali iaitu sebelum akhir tahun ini dan sebelum perayaan Aidilfitri tahun hadapan.

“Bantuan khas kewangan ini turut diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gajinya oleh kerajaan negeri.

“Selain itu, ia juga diberikan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Speaker Dewan Negeri, Timbalan Speaker Dewan Negeri, ADUN, Ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), guru KAFA, petugas pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) dan guru-guru Tadika Islam Johor (TAJ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Sahruddin berkata, pemberian bantuan khas itu juga adalah sebagai cara kerajaan negeri membalas semula jasa dan komitmen penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Saya ingin menjelaskan bahawa pembangunan negeri ini tidak akan tercapai sepertimana yang kita nikmati hari ini tanpa komitmen dan dedikasi penjawat awam negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangaan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan semula elaun guru Kafa.

“Bagi pelarasan ini, seramai 2,090 guru Kafa akan menerima elaun penuh sebanyak RM1,412 sebulan mulai Januari tahun hadapan selain 240 guru Kafa akan menerima elaun tambahan sebanyak RM512 bagi setiap seorang,” katanya.