Dana darurat untuk orang asli Gua Musang

Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia
Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) berusaha mendapatkan dana darurat bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada penduduk orang asli dengan kadar segera agar mereka yang terputus hubungan mempunyai sumber makanan di musim tengkujuh ini.

Ketua Pengarahnya, Profesor Dr Juli Edo berkata, ia adalah usaha bagi memastikan bekalan makanan masyarakat orang asli di Gua Musang mencukupi.

Menurutnya, Jakoa juga akan turut mengambil tindakan segera untuk memperbaiki sementara kerosakan jalan yang teruk sehingga menjejaskan masyarakat orang asli di Pos Simpor.

"Jakoa telah mengadakan perbincangan berkenaan isu tersebut dengan masyarakat orang asli diwakili Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah pada 17 November lalu di Kampung Langsat, Gua Musang mengenai jalan perhubungan tersebut berlumpur akibat hujan berterusan pada ketika ini.

"Aktiviti sukan kenderaan pacuan empat roda juga menambah kerosakan sehingga menyebabkan masyarakat orang asli sukar untuk keluar dari kampung mereka," katanya

Terdahulu, penduduk orang asli di Pos Simpor, di sini dilaporkan terputus bekalan makanan akibat kerosakan jalan, selain serangan gajah liar terhadap ladang dan tanaman mereka.

Mengulas lanjut katanya, alam jangka masa panjang, jalan di perkampungan orang asli sekitar Gua Musang akan dinaik taraf melalui Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli Gua Musang yang dijangka siap menjelang tahun 2023.

Berkenaan isu serangan gajah katanya, Jakoa akan mengatur perbincangan dengan Jabatan Perhilitan untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi memastikan keselamatan penduduk kampung serta tanaman mereka yang menjadi sumber makanan utama.

Artikel Berkaitan: