Pahang larang mendaki bukit, riadah di pusat rekreasi mulai hari ini

Larangan bagi aktiviti mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.
Larangan bagi aktiviti mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri mengeluarkan peraturan larangan bagi aktiviti mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Peraturan larangan itu berkuatkuasa hari ini sehingga 20 Januari 2020 atau satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak berkata, tindakan itu diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, mengambil kira kemungkinan dan kesan buruk yang boleh berlaku, kerajaan negeri memutuskan bahawa aktiviti-aktiviti riadah di pusat-pusat rekreasi dan aktiviti mendaki bukit serta gunung tidak dibenarkan sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.

"Aktiviti riadah termasuk perkhemahan, mandi-manda, menyelam dan memancing sama ada di kawasan air terjun, tasik dan pantai adalah tidak dibenarkan.

"Ia berikutan kebimbangan berlakunya fenomena kepala air di kawasan air terjun terutama sekali ketika cuaca hujan berlarutan.

"Paras air tasik dan sungai boleh meningkat secara mendadak dalam keadaan cuaca sebegini selain fenomena air pasang besar di kawasan pantai serta ombak besar boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sallehuddin berkata, larangan aktiviti pendakian bukit atau gunung sama ada secara persendirian atau berkumpulan dalam kawasan yang dikawal oleh pihak kerajaan negeri juga tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"PBT (pihak berkuasa tempatan) dan jabatan berkaitan diminta meningkatkan aspek keselamatan dan pemantauan terutama pada musim cuti persekolahan.

"Ia termasuklah langkah meletakkan papan tanda amaran, peringatan dan larangan di lokasi-lokasi terlibat," katanya.

Katanya, sebagai langkah bersiap sedia, cuti pegawai dan kakitangan di negeri ini dibekukan sehingga 20 Januari 2020.