8 anggota APMM, 11 nelayan Vietnam kena jangkitan saluran pernafasan

Sultan Muhammad V (dua dari kanan) dan Dr Dzulkefly mendengar penerangan model pelan hospital daripada Pengarah Hospital Sultan Ismail Petra, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh selepas Majlis Perasmian Hospital Sultan Ismail Petra di Mukim Kuala Pahi hari ini. - Foto Bernama
Sultan Muhammad V (dua dari kanan) dan Dr Dzulkefly mendengar penerangan model pelan hospital daripada Pengarah Hospital Sultan Ismail Petra, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh selepas Majlis Perasmian Hospital Sultan Ismail Petra di Mukim Kuala Pahi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pasir Puteh dan 11 nelayan warga Vietnam mengalami kluster jangkitan saluran pernafasan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes berkenaan dikenal pasti melalui pemeriksaan oleh pasukan kesihatan dan perubatan pada 17 November lalu ke atas 63 orang terdiri daripada 18 anggota APMM dan 45 nelayan Vietnam yang terlibat dalam Ops Naga Barat Siri 1/2019 dan Ops Damai Siri 52/2019 pada 13 dan 14 November lalu.

Menurutnya, kesemua 19 kes yang dikenal pasti adalah dalam kalangan lelaki dewasa kecuali dua nelayan warganegara Vietnam yang berumur 16 dan 17 tahun.

"Pemeriksaan klinikal mendapati mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak seawal sehari selepas pulang dari operasi iaitu pada 15 November lalu," katanya selepas Majlis Perasmian Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai yang dirasmikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan organisma atau kuman penyebab jangkitan tersebut.

"Pada masa sama, tindakan kawalan ‘social distancing’ (pengasingan sosial) dan pendidikan kesihatan telah dilakukan.

"Kes-kes dalam kalangan nelayan warga Vietnam sedang diasingkan di Penjara Pengkalan Chepa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap anggota penguat kuasa lebih berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta langkah pencegahan daripada sebarang jangkitan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap agar ia menjadi iktibar dan peringatan kepada anggota yang terlibat dalam sebarang operasi selepas ini," katanya