Satu jam kejar bot nelayan Vietnam

Bot dinaiki nelayan Vietnam ditahan kira-kira 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Selasa.
Bot dinaiki nelayan Vietnam ditahan kira-kira 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengambil masa hampir satu jam mengejar bot nelayan Vietnam yang bertindak melarikan diri sebaik dikesan menceroboh perairan negara.

Pengarahnya, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, bot dinaiki seramai 20 nelayan asing itu dikesan menceroboh perairan negara kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Selasa.

"Sebaik menyedari kehadiran kapal Maritim, bot tersebut memecut ke arah sempadan Vietnam dan kita mengambil masa hampir satu jam mengejarnya.

"Bagaimanapun, kumpulan nelayan itu berjaya ditahan pada kedudukan 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, sekitar jam 1.20 tengah hari," katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pihak Maritim merampas sebuah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan navigasi, 300 kilogram ikan serta 2,000 liter diesel dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.5 juta.

"Hasil pemeriksaan pula mendapati terdapat 20 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 18 hingga 49 tahun tanpa dokumen pengenalan diri," katanya.

Khairulanuar berkata, tekong bot berkenaan juga gagal menunjukkan sebarang kebenaran atau lesen untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Op Naga Barat dan Op Kuda Laut, Maritim Malaysia komited menangani isu pencerobohan nelayan asing ke perairan negara yang mengaut kemewahan hasil laut kita.

Sehubungan itu, katanya, komuniti maritim tempatan diminta untuk melaporkan sebarang perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.