Terima ijazah di hospital

Dr R Badlishah Ahmad menyampaikan skrol Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu kepada Nur Izyan disaksikan pengurusan tertinggi universiti. Turut kelihatan Dr Huzili dan Dr Abdul Karim.
Dr R Badlishah Ahmad menyampaikan skrol Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu kepada Nur Izyan disaksikan pengurusan tertinggi universiti. Turut kelihatan Dr Huzili dan Dr Abdul Karim.
A
A
A

KANGAR - Hasrat seorang siswazah Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi menghadiri istiadat konvokesyen bersama rakan-rakan terkubur apabila dia dimasukkan ke wad kerana demam denggi.

Ternyata situasi itu membuatkan Nur Izyan Munira Amran kecewa dan tertekan memandangkan semua persiapan sudah dibuat termasuklah mengambil jubah selain turut merancang untuk meraikannya bersama rakan, pensyarah dan keluarga pada sidang akhir yang dijadualkan petang tadi.

Namun, kekecewaan Nur Izyan terubat apabila dimaklumkan bahawa majlis pengurniaan ijazah akan tetap dilaksanakan hari ini apabila Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad mendapat perkenan dari Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bagi menganugerahkan ijazah kepadanya.

“Terima kasih kepada pengurusan UniMAP yang mengambil inisiatif mengurniakan ijazah ini kepada saya.

"Sebenarnya semalam selepas kedua-dua ibu bapa tiba di Perlis dari Kelantan, saya berhasrat untuk hadir juga namun tidak dibenarkan oleh doktor yang merawat," katanya.

“Memang rasa kecewa sangat sebab semua dah tersedia, tetapi dengan kehadiran Naib Canselor ke sini (hospital) dan mengurniakan ijazah ia pasti akan menjadi satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UniMAP, Ridzuan Ishak, Timbalan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah, pengurusan tertinggi UniMAP dan Dekan IKOM, Prof Madya Dr Huzili Hussin.

Menurut Nur Izyan, dia dan rakannya menaiki bas dari Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis bersejarah itu sejak 14 November lalu namun tidak sihat selepas selesai urusan mengambil jubah dan taklimat kepada graduan Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

“Namun saya cuba bertahan dan menunggu selesai istiadat namun terpaksa mendapatkan rawatan di klinik.

"Doktor kemudiannya merujuk saya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana ujian darah mendapati saya disyaki demam denggi dan dimasukkan ke wad semalam," katanya.

Sementara itu, Dr R Badlishah berkata, beliau dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Izyan sebelum istiadat bermula dan memanjangkannya kepada Canselor UniMAP.

“Alhamdulillah, Tuanku Canselor memberi perkenan untuk disempurnakan istiadat ini di sini (hospital).

"Saya mengharapkan inisiatif UniMAP berjaya menggembirakan Izyan meskipun tanpa rakan-rakan siswazah lainnya,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak HTF di atas kerjasama membolehkan penganugerahan ijazah kepada Nur Izyan.