Novartis Malaysia lanjut program bagi penghidap aBC, Gen PIK3CA

Mohamed (kiri) bersama Hareef ketika mengumumkan pelancaran Kempen Penggalak PIK3CA untuk pesakit kanser payudara lanjutan (aBC).
Mohamed (kiri) bersama Hareef ketika mengumumkan pelancaran Kempen Penggalak PIK3CA untuk pesakit kanser payudara lanjutan (aBC).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Novartis Malaysia telah melanjutkan kerjasama dengan dua makmal utama di Malaysia iaitu Pantai Premier Pathology dan Subang Jaya Medical Center (SJMC) bagi Program Diagnosis Molekular penghidap aBC dan Gen PIK3CA.

Presiden Novartis Malaysia, Mohamed Elwakil berkata, ujian tersebut menelan perbelanjaan yang besar dan boleh menjadi penghalang kepada pesakit kurang mampu, namun dengan kerjasama ini akan membawa kesan ketara terhadap kualiti kehidupan pesakit.

Jelasnya, perubahan ketara yang dapat dilihat dalam rawatan kanser payu dara dalam tempoh dua dekad lepas menunjukkan kekurangan alat diagnostik kos rendah yang berkesan telah menjejaskan kesihatan ramai orang di negara-negara sedang membangun.

“Kami sukacita melanjutkan kerjasama dengan Pantai Premier Pathology dalam kempen ini kerana percaya bahawa kemajuan saintifik telah menambah baik pilihan rawatan bagi pelbagai penyakit global.

“Penjagaan kesihatan berkualiti termasuk ujian awal akan berkesan menambah baik prognosis dan kualiti kehidupan penghidap kanser payu dara. Ia merupakan sebahagian daripada misi Novartis untuk membantu menambah baik diagnosis awal bagi penghidap aBC dengan mutasi PIK3CA,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hareef (kiri) dan Mohamed menekankan kerjasama antara Novartis Malaysia dan Pantai Premier Pathology untuk menyediakan ujian awal dan berkesan, yang merupakan kunci untuk meningkatkan prognosis dan kualiti hidup pesakit kanser payudara.
Hareef (kiri) dan Mohamed menekankan kerjasama antara Novartis Malaysia dan Pantai Premier Pathology untuk menyediakan ujian awal dan berkesan, yang merupakan kunci untuk meningkatkan prognosis dan kualiti hidup pesakit kanser payudara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Hareef Muhammed berkata, dengan menyediakan ujian tersebut pada harga yang lebih murah akan memberi manfaat kepada pesakit.

“Kami telah melihat sambutan luar biasa sejak pelancaran kempen pada 2022, yang memberi penekanan kepada kepentingan menyediakan ujian diagnostik yang termampu.

“Setakat ini, Kempen Penggalak PIK3CA telah menyaksikan seramai 200 pesakit mendapat manfaat daripada diagnosis ini yang membawa kepada rawatan yang tepat pada masanya untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan melanjutkan hayat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pakar Runding Onkologi di Pantai Premier Pathology, Dr Mastura Md Yusoff berkata, kajian menunjukkan sehingga 40 peratus daripada penghidap kanser payu dara lanjutan didapati mempunyai mutasi gen PIK3CA.

“Pesakit harus menjalani saringan dan pengesanan awal untuk menambah baik prognosis dan memulakan rawatan awal untuk keputusan yang lebih baik,” katanya.