Nelayan guna RM100 sehari beli dadah

Pegawai AADK Besut memeriksa individu yang ditahan AADK Besut dalam Operasi Cegah sekitar Kuala Besut, Hulu Besut dan Jerteh. - Foto AADK Besut.
Pegawai AADK Besut memeriksa individu yang ditahan AADK Besut dalam Operasi Cegah sekitar Kuala Besut, Hulu Besut dan Jerteh. - Foto AADK Besut.
A
A
A

BESUT – Seorang nelayan sanggup membelanjakan RM100 sehari bagi mendapatkan bekalan dadah.

Lelaki berusia 27 tahun dari Kuala Besut itu terpaksa menelan 10 biji pil kuda sehari kerana jumlah yang kurang dari itu sudah tidak memberi apa-apa kesan kepadanya.

Dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan, lelaki belum berkahwin itu menghabiskan gajinya untuk membeli bekalan dadah dan sering kali membawa rakan-rakan ke rumah pusaka keluarga yang didiami seorang diri.

Pendedahan itu dibuat kepada pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut selepas dia ditangkap bersama 13 individu lain dalam Operasi Cegah di sekitar Jerteh, Kuala Besut dan Hulu Besut.

Ketua Pegawai AADK Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, lelaki itu mengaku mengambil dadah sejak 12 tahun lalu ketika berusia 15 tahun selepas dipengaruhi rakan-rakan dan tabiat itu kini semakin parah.

“Sekarang kalau setakat ambil dua atau tiga biji dadah, tidak memberi apa-apa kesan jadi dia kena makan 10 biji pil kuda. Itu pun dia cakap kurang khayal,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nor Hafizza, penyalahgunaan dadah memberi kesan buruk kepada individu yang terjebak dalam gejala itu dan seorang lagi tahanan berusia 18 tahun turut mengalami ketagihan melampau.

Remaja lelaki itu katanya terpaksa menelan empat biji pil sehari dan kedudukan sebagai penganggur menyebabkan dia sering meminta wang sebanyak RM40 sehari dari bapanya untuk membeli dadah.

Artikel Berkaitan:

“Remaja dari Jerteh ini sudah dua tahun terbabit dalam dadah kerana pengaruh rakan iaitu ketika di bangku sekolah.

“Ayahnya minta dia dihantar ke Klinik Cure & Care Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan atas kerelaan remaja itu sendiri,” katanya.

Nor Hafizza berkata, nelayan dan remaja itu hanya sebahagian kisah individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang perlu dijadikan iktibar buat semua agar lebih peka dengan ahli keluarga masing-masing.

“Ibu bapa kena pantau pergerakan anak-anak, ambil cakna dengan siapa mereka berkawan dan apa aktiviti di luar rumah supaya tidak terjebak dengan dadah,” katanya.