Sistem saliran punca tanah runtuh di Jalan Genting-Amber Court

Norol Azali menjawab pernyataan lisan daripada Young Syefura pada Sidang DUN hari ini.
A
A

KUANTAN - Sistem saliran tidak sempurna dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan Genting-Amber Court di Genting Highlands, Bentong pada 5 November lalu.

Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, bagaimanapun pihak kerajaan masih menunggu laporan terperinci dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian terbabit.

Menurut, penguatkuasaan sentiasa dilakukan oleh agensi berkaitan sebagaimana arahan daripada kerajaan negeri supaya penyelenggaraan cerun termasuk dari segi kebersihan longkang dan sistem saliran dilakukan dari semasa ke semasa.

"Kita masih menunggu laporan penuh dari cawangan Kejuruteraan Cerun JKR berkaitan kejadian tanah runtuh.

"Namun laporan awal mendapati kemungkinan besar kejadian ini berpunca daripada sistem saliran tidak sempurna," katanya.

Norol Azali berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu, Young Syefura Othman (DAP-Ketari) mengajukan pertanyaan kepada wakil kerajaan mengenai tindakan yang dilakukan Kerajaan Pahang untuk mengelak berulangnya kejadian tanah runtuh di Genting Highlands.

Beliau meminta kerajaan Pahang melakukan pemantauan terutama dari segi pembangunan di Genting Highlands yang semakin banyak.

Pada 5 November lalu, kira-kira 200 kakitangan serta penghuni di sebuah hotel dan pangsapuri terperangkap apabila tanah runtuh akibat hujan lebat.

Difahamkan runtuhan tanah itu berlaku secara berperingkat bermula jam 5 petang, bagaimanapun ia tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.