Suami isteri maut terjatuh bangunan hotel di Genting Highlands

Sepasang suami isteri maut dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah hotel di Genting Highlands pada Selasa. - Foto ihsan PDRM
Sepasang suami isteri maut dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah hotel di Genting Highlands pada Selasa. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BENTONG - Sepasang suami isteri ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah hotel di Genting Highlands di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kedua-dua mangsa merupakan warganegara tempatan berusia 37 tahun.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.46 malam.

"Hasil siasatan awal mendapati pasangan dari Taiping, Perak itu datang ke Genting Highlands pada 11 Mei lalu dan telah mendaftar masuk di sebuah bilik hotel di sini.

"Hasil pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati bermula dari tarikh kedua mangsa mendaftar sehingga tarikh kejadian tiada sesiapa melainkan mereka yang keluar masuk ke bilik hotel tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Zaiham, hasil pemeriksaan pihak polis juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut

"Laporan bedah siasat oleh pihak hospital ke atas mangsa lelaki mendapati punca kematian disebabkan 'massive hemothorrex' dan punca kematian isterinya pula berpunca daripada kecederaan parah di kepala," tambah beliau.

Dalam pada itu, Zaiham meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memohon menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan mengenai kes terbabit.

Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)