Malaysia bangkitkan isu Laut China Selatan, Rohingya

Mohamad Sabu (kanan) menandatangani plak sempena perasmian Pavilion Malaysia di Pameran Defence & Security 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di Nonthaburi hari ini. - Foto Bernama
Mohamad Sabu (kanan) menandatangani plak sempena perasmian Pavilion Malaysia di Pameran Defence & Security 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di Nonthaburi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Laut China Selatan dan Rohingya adalah antara isu yang dibangkitkan oleh Malaysia semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus di sini.

Malaysia yang diwakili oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada Pemukiman ADMM semalam menekankan tentang perlunya ADMM untuk mengukuhkan dan memperluaskan hubungan serta menangani pelbagai cabaran keselamatan bukan tradisional termasuk kemunculan keselamatan siber.

"Mohamad juga menyatakan kebimbangannya mengenai keadaan di negeri Rakhine Myanmar. Beliau memberi amaran bahawa keadaan semasa perlu ditangani dengan bijak untuk mengelakkan kebanjiran etnik Rohingya ke negara-negara jiran termasuk Malaysia dan menghalang mereka daripada tunduk kepada ideologi dan perekrutan puak ekstremis akibat kesengsaraan yang dialami," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semasa Mesyuarat ASEAN Plus ke-6 hari ini, Mohamad menarik perhatian tentang kerumitan geopolitik yang terbit di Laut China Selatan.

Beliau menegaskan tentang perlunya kesemua 10 negara anggota ASEAN dan lapan negara rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia, dan Amerika Syarikat untuk menghormati dan mematuhi komitmen yang dibuat pada Mesyuarat ADMM Plus ke-5 tahun lepas.

"Semua pihak mesti mengamalkan pendekatan self-restraint dalam menjalankan aktiviti (di Laut China Selatan yang dipertikaikan) dan mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan sedia ada," katanya.

Seiring dengan tema Thailand Sustainable Security bagi kepengerusiannya tahun ini, Mohamad menggalakkan negara anggota ADMM Plus untuk menerima pakai tema ini sebagai visi yang berkekalan ke arah usaha mewujudkan keamanan, keselamatan dan kestabilan ke rantau berkenaan berhubung kepentingan dan kepusatan ASEAN sebagai prinsip utama panduan.

Terdahulu hari ini, Mohamad menghadiri majlis perasmian pameran pertahanan -Defence and Security 2019 di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di Nonthaburi.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga merasmikan Pavilion Malaysia di pameran itu. Ini merupakan usaha Malaysia untuk membangun dan mempromosikan industri pertahanan di rantau ini.

Beliau mengambil peluang untuk mempromosikan Pameran dan Persidangan Defence Services Asia (DSA 2020) ke-17 dan National Security (NATSEC) ke-17 yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.

Lima syarikat Malaysia dari pelbagai sektor iaitu aeroangkasa, ICT, telekomunikasi, sistem keselamatan dan persenjataan mengambil bahagian dalami pameran itu untuk mempromosikan pemain industri dan produk pertahanan Malaysia di persada dunia.

Sementara itu, Kementerian berkata, kehadiran Mohamad adalah sebahagian daripada inisiatif diplomasi pertahanan yang diambil oleh Malaysia untuk memupuk hubungan pertahanan positif menerusi platform pelbagai hala dan dua hala dalam menangani isu pertahanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

"Ini juga menekankan komitmen berterusan Malaysia ke arah ASEAN sebagai platform serantau teras bagi kerjasama serantau," kata kementerian.

Kenyataan itu berkata, Malaysia mengucapkan tahniah kepada Thailand sebagai Pengerusi ASEAN atas kegigihan usahanya dalam menganjurkan mesyuarat dan sumbangan ke arah ASEAN yang lebih baik.

"Malaysia mengalu-alukan Vietnam sebagai Pengerusi ASEAN 2020 yang akan datang," katanya.

Malaysia dan Korea Selatan akan mempengerusikan bersama Kumpulan Kerja Pakar-Pakar ADMM-PLUS (EWG) mengenai keselamatan dari 2020-2023.

Sebelum ini, Malaysia mempengerusikan bersama dengan Amerika Syarikat ADMM-Plus EWG mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana dari 2017-2020. - Bernama