[VIDEO] Kencing manis: Bukan Perlis, tetapi Kedah paling tinggi

Pengarah JKN Perlis, Dr Sirajuddin Hashim
Pengarah JKN Perlis, Dr Sirajuddin Hashim
A
A
A

KANGAR - [DIKEMASKINI] Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menafikan dakwaan bahawa Perlis adalah negeri yang tertinggi mempunyai penghidap penyakit kencing manis dalam kalangan rakyatnya.

Pengarah JKN Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, berlaku sedikit salah faham berhubung kenyataan seorang pegawai kesihatan menerusi portal berita tempatan semalam sehingga mengelirukan banyak pihak.

"Mengikut laporan NHMS (Kajian Morbidity Kesihatan Peringkat Kebangsaan) terkini yang dijalankan lima tahun sekali, Kedah mempunyai prevalence yang tertinggi iaitu sebanyak 25.4 peratus rakyatnya menghidap penyakit kencing manis.

"Kedudukan Perlis di dalam carta adalah selepas Kedah iaitu sebanyak 20.6 peratus atau seramai 33,090 orang," katanya ketika sidang akhbar di JKN Perlis hari ini.

Semalam media melaporkan Perlis merupakan negeri tertinggi mempunyai rakyat yang menghidap penyakit kencing manis meskipun negeri itu mempunyai jumlah penduduk paling sedikit di Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Sirajuddin berkata, pihaknya tidak berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak dengan mendedahkan data-data tertentu berkaitan masalah kesihatan kepada awam.

"Kalau nak diikutkan, Selangor antara negeri mempunyai peratusan yang sedikit rakyat yang menghidap penyakit kencing manis iaitu sebanyak 15.5 peratus tetapi angka sebenarnya adalah seramai 649,000 pesakit.

"Kita bukannya mahu berlumba untuk mendahului carta atau sebagainya tetapi objektif utama kita adalah memberitahu masyarakat betapa bahayanya penyakit kencing manis.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab itulah, kita menganjurkan pelbagai program seperti Hari Diabetes Sedunia baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, setiap individu disarankan untuk menjalani ujian saringan bagi mencegah penyakit ini.

"Seeloknya kawal pemakanan dengan mengamalkan konsep suku, suku, separuh dan jika pesakit sudah menghidap penyakit kencing manis sebaiknya mereka perlu mengikut saranan pakar kerana ada pesakit yang mampu bertahan sehingga usia 80 tahun," katanya.

Katanya, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada golongan yang menghidap penyakit ini.

"Mereka yang menghidap penyakit ini terdorong untuk menghidap penyakit lain yang lebih berisiko. Jadi kita sarankan, amalkanlah gaya hidup sihat dengan mengambil makanan sihat serta bersenam," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Rakyat Perlis paling ramai hidap kencing manis