Op Bersepadu: Saman nombor plat paling tinggi

Antara motosikal yang diperiksa menerusi Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, Rabu lalu. (Gambar kecil: Mohd Nasri)
Antara motosikal yang diperiksa menerusi Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, Rabu lalu. (Gambar kecil: Mohd Nasri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesalahan nombor plat direkodkan paling banyak dikesan dalam Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi dekat sini pada Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, operasi bermula jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota EMPV Zon Tengah B JSPT Bukit Aman bertindak mengeluarkan 48 saman atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Turus Zon Tengah B, Asistan Superintenden Amir Che Ya turut dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Berhad.

"Polis telah mengeluarkan sebanyak 48 saman kepada pemandu dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Kesalahan nombor plat adalah paling tinggi iaitu 19, diikuti tiada lesen memandu (9), tidak pamer P (4), cermin sisi (4) dan lain-lain.

"Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 77 saman manakala JAS tujuh saman membabitkan empat motosikal serta tiga lori atas kesalahan ekzos bising dan asap hitam," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

JAS mengeluarkan saman ke atas motosikal yang menggunakan ekzos bising dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur Rabu lalu.
JAS mengeluarkan saman ke atas motosikal yang menggunakan ekzos bising dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Beliau berkata, seramai 11 lelaki tempatan berusia 20 hingga 35 tahun turut ditahan AADK selepas didapati positif dadah.

Katanya, mereka memberi alasan pengambilan dadah kerana tekanan, menghilangkan rasa mengantuk dan pujukan rakan.

Tegasnya, operasi ini bertujuan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas, sekaligus dapat mencegah kes kemalangan jalan raya.

"JSPT komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar kita semua kekal selamat semasa berada di atas jalan raya," ujarnya.