Mahkamah tolak penangguhan, bicara pinda audit Najib-Arul Kanda bermula

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di atas pertuduhan bersubahat dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian memerintahkan perbicaraan itu dimulakan.

Najib dalam permohonannya bertarikh 13 November berkata, jika perbicaraan itu diteruskan seperti yang dijadualkan, beliau akan mengalami prejudis kerana beliau dan peguamnya akan memerlukan satu tempoh masa yang munasabah dan cukup untuk menyiapkan pembelaannya untuk kes SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu kini bersiap untuk masuk pembelaan diri bagi kes melibat SRC International Sdn Bhd, di mana beliau didakwa dengan tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi yang lain.

Pembelaan beliau akan disambung pada 3 Disember.

Beliau menyatakan bahawa dalam permohonan itu pasukan pembelaannya, pada masa yang sama, juga terlibat dalam penyediaan satu lagi kes 1MDB yang akan bermula pada 28 Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN: Arul Kanda bantah permohonan Najib tangguh perbicaraan

Permohonan Najib bagaimanapun telah dibantah oleh Arul Kanda, yang menggesa mahkamah agar melihat kepada kepentingan setiap individu tertuduh, bukan kepada seorang tertuduh sahaja dan meminta mahkamah agar meneruskan perbicaraan kerana beliau mahu diberi peluang untuk keadilan terhadap diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam, Datuk N Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Pada 4 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes melibatkan Najib dan Arul Kanda didengar bersama-sama.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan. - Bernama