'Jangan perjudi nyawa demi kerang'

Anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Marang melakukan rondaan di sepanjang pantai Rusila dan Rhu Dua hari ini.
Anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Marang melakukan rondaan di sepanjang pantai Rusila dan Rhu Dua hari ini.
A
A
A

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu tidak menggalakkan orang ramai mencari kerang di sepanjang pantai Rhu Dua bagi mengelakkan insiden ketika musim tengkujuh.

Pengunjung juga dinasihatkan tidak memperjudikan nyawa dengan mengabaikan aspek keselamatan semata-mata mencari kerang atau mandi di kawasan itu.

Pemangku Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat Marang, Mohd Fauzi Yahya berkata, ombak besar sepanjang musim tengkujuh kini memberi risiko.

“Aspek keselamatan perlu diutamakan terutama mereka yang membawa anak kecil. Ada yang terlalu teruja sehingga tidak sedar anak-anak masuk ke dalam air,” katanya ketika ditemui di pantai itu hari ini.

Beliau berkata, fenomena kerang yang timbul di pantai Rusila dan Rhu Dua turut mengundang pengunjung dari daerah lain seperti Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Katanya, insiden seorang budak nyaris lemas petang kelmarin juga membimbangkan anggota keselamatan dan semua pihak diminta lebih berwaspada ketika berada di situ.

“Sebolehnya ibu bapa yang ada anak-anak kecil tidak membawa anak-anak turun ke pantai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, anggota bomba mengadakan rondaan dua kali sehari pada pagi dan petang bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mustafa Abdullah berkata, pihaknya prihatin terhadap peningkatan jumlah pengunjung sejak tular penemuan kerang lima hari lalu.

“Kita faham dan tidak dapat halang orang ramai datang ke sini tetapi berharap mereka dapat menjaga keselamatan.

“Kita juga tidak mahu insiden dua hari lalu berulang,” katanya.

Dalam kejadian petang kelmarin dua kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam daripada lemas ketika mandi pantai itu.

Mangsa dari Kampung Atas Tol datang bersama keluarga untuk mengambil angin dan mandi -manda di kawasan itu selain melihat sendiri pesta mencari kerang di pantai itu.

ARTIKEL BERKAITAN Pesta kerang bulu di Pantai Rhu Dua, Rusila