Pulau Pinang tetap pendirian beli air mentah dari Perak

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Belum ada keputusan dibuat sama ada sumber air dari Sungai Perak akan dijual kepada Pulau Pinang sebagai air mentah atau air terawat bagi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya dan kerajaan negeri sentiasa mengingatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai kelulusan cadangan projek itu.

“Kami telah mengadakan mesyuarat pada September lepas dan Pulau Pinang mengulangi pendirian ingin (membeli) air mentah. Kami telah mengemukakan cadangan dan mereka akan menelitinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, PBAPP telah menggesa kementerian untuk mempercepatkan proses membuat keputusan kerana Fasa 1 SPRWTS perlu disiapkan menjelang 2025.

“Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) telah menulis surat kepada menteri berkenaan (Datuk Dr A. Xavier Jayakumar) antara hujung bulan lepas ke awal bulan ini,” katanya dan menambah PBAPP akan terus mengingatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung perkara itu.

Projek SPRWTS dicadangkan oleh PBAPP untuk memanfaatkan sumber air kedua Pulau Pinang di Sungai Perak untuk memenuhi keperluan permintaan air pada masa hadapan bagi Pulau Pinang dan utara Perak sehingga tahun 2025.

Konflik berlaku apabila kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP bercadang untuk membeli air mentah dari Sungai Perak tetapi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu menjual air terawat.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mempertimbangkan kedua-dua cadangan oleh kerajaan negeri untuk menentukan pilihan terbaik yang akan menawarkan faedah bersama termasuk pilihan ketiga iaitu ‘hibrid’ yang menggabungkan pemindahan air mentah dan air terawat ke Pulau Pinang dan infrastruktur bekalan air Perak.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Jaseni menghadiri kempen ‘Jom Kenali Sungai Kelian’ dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan sumber air utama negeri sejak 1920-an.

Program itu yang diadakan pada 3, 10 dan 17 November di Tanjung Bungah melibatkan aktiviti seperti pembersihan pantai dan lawatan ke Sungai Kelian. - Bernama