Diuji hidap kanser ketika projek tahun akhir

Tuanku Syed Faizuddin (tiga dari kiri) berkenan beramah mesra bersama Jia Ning dan Qurratul Aini.
Tuanku Syed Faizuddin (tiga dari kiri) berkenan beramah mesra bersama Jia Ning dan Qurratul Aini.
A
A
A

ARAU - Biarpun terpaksa berperang melawan kanser namun ia bukan penghalang buat Ho Jia Ning, siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berjaya menamatkan pengajiannya semalam.

Lebih menyedihkan lagi, Jia Ning, 25, hadir sendirian tanpa ditemani ahli keluarga memandangkan kesihatan ayahnya, Ho Kam Fai, yang tidak mengizinkan dan perlu dipantau rapi ibunya, Chong Siu Hong.

Namun, kesedihan itu terubat apabila, Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meraikan kejayaan Jia Ning serta merakamkan gambar kenangan bersama-sama pengurusan tertinggi universiti.

Menurut Jia Ning, penyakit kanser limfoma yang dihidapinya itu mula dikesan pada tahun 2017 sewaktu beliau sepatutnya di tahun akhir pengajian.

"Ketika itu saya sedang menjalankan projek tahun akhir dan menyedari terdapat kelenjar di bahagian kiri leher sebelum memutuskan untuk melakukan pemeriksaan di Pusat Kesihatan UniMAP.

"Pusat kesihatan kemudiannya merujuk saya kepada pakar di hospital sebelum disahkan menghidap kanser itu pada tahap tiga yang akhirnya membuatkan saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian seketika," katanya.

Jia Ning adalah antara 494 siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bioproses, PPK Pembuatan dan PPK Alam Sekitar yang menerima skrol pada sidang ketiga Istiadat Konvokesyen 14 UniMAP hari ini.

Selain Jia Ning, turut diraikan semalam ialah siswazah Kejuruteraan Reka Bentuk Produk, Qurratul Aini Shuaib yang kehilangan ayah sewaktu di tahun akhir pengajian.

Artikel Berkaitan:

Bagi Qurratul Aini, ijazah yang diterimanya didedikasikan kepada ayahnya, Shuaib K K Mohamed Unni yang meninggal dunia dalam tragedi kemalangan membabitkan bas serta lori kontena dan tangki di Kilometer 142.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Pagoh, tahun lalu.

"Pemergian mengejut ayah membuatkan saya hampir hilang fokus, namun memikirkan masa depan keluarga bergantung kepada pendapatan ibu yang hanya bekerja sebagai penyelia kilang saya tekad meneruskan pengajian dan menggenggam segulung ijazah bagi membantu keluarga," katanya.