Tiga lelaki didakwa bakar kilang

Tertuduh pertama, Kathiresan dibawa dari lokap PDRM ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani.
Tertuduh pertama, Kathiresan dibawa dari lokap PDRM ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas dakwaan membakar kilang kitar semula plastik di Bakar Arang, April lalu.

Kathiresan Mariappan, 31, Selvanathan Ponnusamy, 28, dan Lim Chee Kwang, 35, didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah kilang kepunyaan Tan See Wee, 39, yang biasa digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda pada jam lebih kurang 3 pagi, 18 April lalu di belakang Blok B, Kilang Plastik Green Mark Technology Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Bakar Arang.

Akibat perbuatan itu, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, K T Jayaraj.

Pekerja kontrak, Chee Kwang turut dituduh melakukan khianat dengan api bersama-sama dua tertuduh lain.
Pekerja kontrak, Chee Kwang turut dituduh melakukan khianat dengan api bersama-sama dua tertuduh lain.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun Jayaraj memohon agar wang jaminan terhadap Kathiresan dikurangkan berikutan dia bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,200 sebulan, selain menanggung isteri yang sedang mengandung anak ketiga serta menghidap asma.

Dua lagi tertuduh, Selvanathan dan Chee Kwang turut merayu jaminan dikurangkan dengan Selvanathan memberi alasan ibu dan isteri sakit, manakala Chee Kwang pula mempunyai dua anak masih bersekolah selain ibu menghidap kanser.

Artikel Berkaitan:

Kes akan disebut semula pada 15 Disember 2019.