Pendidikan politik mesti diwujudkan

A
A
A

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dijangkakan lebih 1.5 juta pengundi muda mewarnai sistem demokrasi di Malaysia berikutan remaja berusia bawah umur 21 tahun layak sebagai pemilih jika PRU15 diadakan pada 2023.

Pendaftaran secara automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun sebagai pengundi berdaftar juga memberi impak besar dalam pilihan raya akan datang.

Penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia sejajar amalan negara yang menurunkan had umur kepada 18 tahun layak mengundi seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, Perancis, India, Pakistan, New Zealand dan di Amerika Latin, Afrika dan Jepun. Di Indonesia dan Timor Leste, usia 17 tahun sudah layak mengundi.

Sejauh mana anak muda seumur 18 tahun memahami maksud politik dan demokrasi sebenar.Sudah sampai masanya Malaysia memperkenalkan pendidikan politik di peringkat sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi. Usaha itu berupaya meningkatkan kesedaran mengenai dinamika politik semasa dan menerapkan politik matang.

Pendidikan politik sewajarnya diterap kepada generasi muda khususnya berkaitan pengertian politik secara lebih meluas, etika dan tatacara politik matang serta menganalisis isu semasa agar wujud rakyat celik atau literasi politik.Dalam politik penuh 1,000 muslihat, serangan dan asakan, ia menuntut kita mengorak langkah kepada pendekatan proaktif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jelas mengajak rakyat Malaysia untuk terus mengambil pendirian dan sikap pemimpin yang matang.

Memandangkan situasi politik dan tingkah laku politik tercemar dengan pelbagai adegan yang melampaui batas mutakhir ini, maka pemikir dan pembuat dasar perlu ke arah mewujudkan pendidikan politik di Malaysia.

Jika di Australia, New Zealand, Kanada, Thailand dan Indonesia menerapkan pendidikan politik kepada semua sekolah menengah dan pengajian tinggi, maka Malaysia perlu mempelajari pendekatan berstrategi.

Artikel Berkaitan:

Definisi yang sering kita ketahui bahawa politik adalah proses membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia merujuk kepada kerajaan atau parti pemerintah, tingkah laku politik boleh didapati dalam bidang korporat, akademik, agama dan institusi lain.

Politik mungkin mempunyai maksud pejoratif atau makna yang kurang menyenangkan atau mencemuh dalam bentuk ungkapan atau perkataan.

Dengan mengatakan sesuatu keputusan dibuat atas dasar politik memberi gambaran bahawa keputusan tersebut dipengaruhi kepentingan tertentu daripada objektif atau kebaikan bersama.

Politik ialah satu cara untuk manusia mengkoordinasi tindakan seseorang untuk kebaikan bersama atau kebaikan individu.

Apa yang membezakan politik dengan etika dan sosial ialah dalam politik terdapat banyak persoalan berdebat.

Ahli penulisan strategi seperti Sun Tzu, Niccolo Machiavelli dan George Washington Plunkitt serta ahli falsafah seperti Plato, Aristotle, Locke, Mills, Thomas Jefferson, Marx dan Mao menyatakan sains politik ialah kajian mengenai tingkah laku politik dan mengkaji kehendak dan penggunaan kuasa.

Memaksa

Contohnya, kematangan politik berkaitan keupayaan mempengaruhi untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain. Juga berkaitan sejauh mana seseorang itu bebas membuat keputusan sendiri dalam menentukan pemimpin dan calon tanpa dipengaruhi orang terdekat.

Kebanyakan ahli teori berpendapat untuk menjadi politik, sesuatu proses itu perlu menggunakan sedikit kekerasan, tipu muslihat kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan konflik.

Memenangi sesuatu konflik politik bermaksud merampas kuasa daripada satu kumpulan atau entiti dan memberikannya kepada kumpulan lain.

Ramai akan bersetuju konflik politik boleh dengan mudahnya tumbang menjadi zero-sum game di mana tiada yang dipelajari atau diselesaikan, melainkan menentukan siapa menang, siapa tewas.

Pendekatan pendidikan sejarah di sekolah menengah mungkin tidak secara khusus menerapkan modul mengenai pendidikan politik dan politik matang.

Sudah sampai masanya satu subjek khas diajar kepada semua pelajar pengajian tinggi pelbagai disiplin atau pengkhususan berkaitan konsep politik matang.

Mungkin juga pelajar di tingkatan empat dan lima boleh didedahkan konsep asas politik dalam konteks di Malaysia.

Semoga tindakan politik oleh mana-mana pihak membawa kepada kesejahteraan bersama.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara