Perokok perlu patuhi undang-undang

Dr Zarihah
Dr Zarihah
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa golongan perokok supaya menghormati undang-undang larangan merokok yang akan dikuatkuasakan pada tahun hadapan.

Pengarahnya, Dr Zarihah Mohd Zain berkata, perokok perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan sebaiknya demi keharmonian masyarakat.

"Selagi mereka tinggal di negara ini ikutlah undang-undang, jika enggan maka hadapilah risiko dengan membayar denda.

"Perokok harus sedar perbuatan ini hanya merugikan diri sendiri terutama dari segi kewangan malahan tahap kesihatan mereka akan turut terjejas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam media melaporkan Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari tahun depan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan jika mereka gagal berbuat demikian maka perokok terbabit akan didakwa di mahkamah serta boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Sementara itu, Dr Zarihah berkata, pihaknya menyokong tindakan kerajaan mengenakan denda RM10,000 kepada mereka yang menghisap rokok di premis makanan.

"Bagi saya denda ini wajar dilaksanakan sebagai pengajaran kepada individu yang terlibat dan membela hak orang ramai untuk hidup sihat dengan menghirup udara yang segar.

Artikel Berkaitan:

"Asap rokok basi yang terpaksa dihidu oleh orang ramai adalah sangat berbahaya kerana mengandungi racun-racun yang telah dibuktikan secara saintifik sebagai penyebab kanser dan sakit jantung," ujarnya.

Tambahnya, tindakan itu tidak akan menjejaskan keuntungan pemilik premis makanan sebaliknya mereka akan tetap meraih keuntungan.

"Orang ramai dapat menikmati makanan dengan lebih selesa dan mereka tidak akan teragak-agak membawa anak-anak kecil bersama untuk menikmati juadah bersama keluarga," katanya.

Beliau menyeru kepada perokok supaya menghentikan tabiat merokok yang boleh membawa mudarat di samping menjejaskan kesihatan orang yang tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Kompaun, denda jika merokok di kedai makan mulai 1 Januari