X

Kindly register in order to view this article
!

Apabila broker telefon

A
A

Baru-baru ini, ada seseorang telah menelefon saya. Saya tidak kenal dia, malah nombor telefonnya pun tidak ada dalam simpanan saya. Tapi saya menjawab juga panggilan itu, mungkin mana tahu saya menjadi seorang pemenang peraduan isi minyak yang saya selalu hantar.

Lelaki itu dengan agresifnya terus berkata: “Selamat pagi Encik Faisal. Apa perasaan Encik hari ini?” Lelaki tersebut terus sahaja bertanya tentang perasaan saya pula. Saya rasa mesti ada suatu yang tidak kena. Dahlah tak perkenalkan diri, terus sahaja bertanya tentang perasaan saya. Saya agak mesti ada agenda tersembunyi.

Saya menjawab: “Siapa ni? Ada apa?”

“Oh saya Rahmat. Saya broker daripada syarikat pelaburan.”

Saya sudah agak dia mesti hendak menjual sesuatu. Kalau tidak, dia tidak akan bertanya tentang perasaan saya. Lagipun dia tidak kenal saya.

Biasanya orang yang tidak kenal dengan kita kemudian cuba ambil berat ini mesti hendak menjual sesuatu. Ataupun mungkin hendak sesuatu daripada kita.

Memandangkan saya seorang yang bersopan santun dalam menerima panggilan daripada orang saya tidak kenali, maka saya berkata: “Maaf Encik Rahmat, saya tidak berminat dengan pelaburan. Terima kasih ya.”

Sepatutnya perbualan itu tamat dengan aman. Saya menjangka dia akan meletakkan telefon selepas saya menyatakan begitu tetapi Encik Rahmat tidak berputus asa. Dia terus cuba mendesak pula.

Katanya: “Encik ada buat pelaburan tak? Kalau ada, pelaburan apa yang Encik buat? Stock? Mutual Fund? Forex? IPO?”

Sekali lagi dengan penuh berhemah dan beradab, saya menyatakan yang saya sedang bekerja. Lagipun saya tidak berminat dengan apa yang dia cuba tawarkan. Lantas saya mengucapkan terima kasih dan meletakkan telefon sahaja.

Selang lima minit kemudian, telefon berbunyi lagi. Sekali lagi yang menelefon saya ialah Encik Rahmat juga.

Kata Encik Rahmat: “Pagi Encik Faisal, ini saya sekali lagi Rahmat. Kita ada berbual sekejap tadi.”

“Aha ya, lima minit tadi. Lima minit tadi juga saya ada beritahu yang saya tidak berminat dengan tawaran Encik Rahmat. Kenapa telefon saya lagi?”

“Oh saya berfikir mungkin Encik akan berubah fikiran.”

“Selepas lima minit saya akan ubah fikiran?”

“Ya Encik.”

“Jadi Encik Rahmat ingat selepas lima minit, mungkin saya menyesal dengan keputusan saya untuk tidak bercakap dengan Encik. Mungkin Encik rasa saya menyesal terlepas peluang menjadi kaya sebab tidak buat pelaburan dengan Encik. Begitu?“Ya begitulah Encik. Saya jangkakan Encik mungkin akan berfikir dengan lebih mendalam dan terus mengambil peluang ini. Ini peluang yang baik untuk masa depan Encik. Pelaburan jangka pendek atau panjang yang mungkin membuatkan Encik mendapat untung lebih dan kaya nanti,” kata Encik Rahmat dengan penuh riang.

“Oh saya faham, selepas lima minit tadi, Encik Rahmat akan membuatkan saya jadi kayalah ya dengan pelaburan ini?”

Kemudian terdengar Encik Rahmat ketawa: “Saya tak tahulah saya boleh buat Encik jadi kaya atau tidak.”

“Tak tahu? Jadi sebelum ini dah ada ke yang jadi kaya raya melabur dengan Encik?” tanya saya lagi.

“Ha ha ha, hmm... saya tidaklah kata begitu tapi ada yang melabur dengan saya dah senang lenang sekarang.”

Saya bertanya: “Encik Rahmat umur berapa?”

“25 tahun.”

“Encik Rahmat tahu tak ketika hari lahir Encik saya dah mula kerja. Saya kerja untuk menyara keluarga. Macam-macam kerja saya buat. Dari gaji kecil sehingga dapat kenaikan gaji. Dengan gaji tersebut, saya menyara keluarga dan memenuhi keperluan keluarga. Encik Rahmat fikir saya akan beri begitu sahaja hasil titik peluh dengan orang yang saya tidak kenal?”

Kemudian saya berkata lagi: “Encik Rahmat ingat saya tidak tahu tentang pelaburan. Saya juga tahu tentang saham. Saya juga tahu tentang Forex. Sekarang ramai orang melabur dan hilang duit begitu sahaja. Belum lagi yang kena tipu oleh scammer. Pelabur yang menang biasanya pelabur yang ada modal besar dan boleh bertahan. Pelabur yang kecil itu lebih kepada berjudi sahaja. Menumpang gelombang pergerakan harga saham. Encik faham tak? “

“Encik tak berminat ya?” dia bertanya.

“Baguslah Encik Rahmat dah faham. Tapi jangan rasa kecewa, daripada jadikan saya kaya, lebih baik jadikan ahli keluarga sendiri dahulu kaya. Hendak kongsi rahsia kaya dengan sayakah?” kata saya lagi.

“Hmm...kalau begitu tak apalah Encik. Terima kasih.”

Saya tunggu lima minit lagi, malangnya Encik Rahmat tidak telefon. Malangnya lagi saya tidak sempat hendak memberitahu kepada dia apa perasaan saya hari ini.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisa[email protected]


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!