Kerajaan sentiasa pantau keadaan ekonomi: Azmin

Azmin Ali
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan kekal dalam landasan yang kukuh, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini memandangkan pertumbuhan ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global serta sektor berkaitan komoditi.

Namun begitu, kerajaan menjangkakan sasaran pertumbuhan ekonomi pada 2019 sebanyak 4.7 peratus, boleh dicapai berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama seperti kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (LI) yang menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Ia juga dalam fasa pengembangan bagi tempoh empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2019 mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.4 peratus disokong oleh aktiviti domestik yang menggalakkan, terutama penggunaan swasta, menurut Azmin dalam kenyataan akhbar hari ini.

Kedudukan sektor luar juga kekal mampan dengan jumlah eksport bersih yang tinggi, membolehkan akaun semasa imbangan pembayaran terus mencatatkan lebihan.

Indeks Pengurus Pembelian (IPP) untuk sektor pembuatan juga telah meningkat kepada 49.3 mata pada Oktober 2019, paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 50 mata asas kepada 3.0 peratus, telah berkuat kuasa pada 16 November 2019.

Langkah ini diambil untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik bagi menyokong pasaran kewangan supaya berfungsi dengan cekap dan seterusnya menggalakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

Justeru, pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh aktiviti permintaan domestik yang menyumbang lebih 90 peratus kepada KDNK.

"Pertumbuhan ini akan terus diterajui oleh penggunaan swasta terutama aktiviti berkaitan pelancongan domestik dan jualan akhir tahun sempena cuti sekolah," katanya. - Bernama