Malaysia hantar pulang kontena bawa sisa plastik tidak patuhi syarat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menghantar pulang semula kontena berisi jutaan sisa plastik dari luar negara yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, yang akan dihantar pulang adalah kontena yang tidak memiliki lesen import sisa plastik di samping kontena mengandungi sisa plastik yang tidak bersih dan tidak homogen.

“Ia adalah antara langkah yang diambil bagi mengatasi import haram jutaan tan sisa plastik dari luar negara ke Malaysia,” kata KPKT dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini.

Ia sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang mahu pihak kementerian menjelaskan apakan langkah kawalan yang telah dan akan diambil kementerian bagi mengatasi import haram jutaan tan sisa sampah dari luar negara ke Malaysia.

KPKT menegaskan hanya import sisa plastik yang bersih dan homogen sahaja dibenarkan dihantar ke Malaysia dan antara yang diluluskan adalah sisa plastik yang berasal dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah termasuklah dari Asia Barat.

Negara-negara ini membekalkan sisa plastik berkualiti tinggi dan bersih seperti Acrylonitrile butadiene styrene (ABS) lumps dan Polyethylene (PE) film.

KPKT turut mengenakan syarat lebih ketat bagi import sisa plastik HS Code & kod tariff 39.15.

“Kementerian juga menjalankan operasi bersepadu bagi mengetatkan kawalan di pintu masuk Pelabuhan Persekutuan dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan,” kata kementerian.

Artikel Berkaitan:

Kementerian juga akan meneliti isu berkaitan perundangan, peraturan, penguatkuasaan dan kawalan dari semasa ke semasa melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KPKT dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). - Bernama