MPKR ganti fungsi MKPN: Waytha Moorthy

P Waytha Moorthy
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) dilancarkan hari ini bagi menggantikan fungsi dan tanggungjawab Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata, MPKR akan menjadi mekanisme penasihat yang berwibawa kepada kerajaan dalam hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial bagi meneruskan usaha penyatuan nasional demi menjulang agenda perpaduan negara.

"Badan ini akan berfungsi sebagai sebuah entiti berkecuali sepenuhnya tanpa rasa takut dan terbatas demi memastikan wujudnya sebuah bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu," katanya pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli MPKR 2019-2022 di sini hari ini.

Beliau berkata, 14 ahli MPKR yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya ahli politik, para akademik, penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil media, wakil masyarakat minoriti dan wakil belia.

"Selain menasihati menteri, mereka juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memerangi cabaran yang kita hadapi, mengurangkan ketegangan kaum dengan matlamat menyeluruh untuk memperkukuhkan perpaduan negara,” katanya. Teks ucapannya dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Baharin Idris.

Waytha Moorthy berkata, usaha meningkatkan dan memperkukuhkan perpaduan nasional akan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan kerana masalah polarisasi kaum dan kecenderungan untuk melihat isu-isu dari segi perkauman telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Beliau berkata, Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mempertingkatkan perpaduan negara.

"Mesej-mesej kebencian kaum dan agama sering dilaungkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan melalui media sosial setiap masa,” katany, sambil menambah situasi berkenaan bakal menjadi cabaran terbesar untuk digalas ahli-ahli MPKR baharu itu.

Ahli-ahli MPKR yang dilantik itu perlu lebih proaktif serta berhemah dalam mendepani isu-isu yang mencabar demi memastikan keutuhan perpaduan negara terpelihara setiap masa, katanya.

- Bernama