[DIKEMASKINI] Kompaun, denda jika merokok di kedai makan mulai 1 Januari

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Dzulkefly
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari tahun depan.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kini, pihaknya sedang giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan selain menekankan aspek pendidikan dalam isu berkenaan.

“Sebanyak 146,607 premis makanan diperiksa dan 31,422 notis amaran dikeluarkan. Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula diterima sejak Januari 2019 sehingga 3 November 2019,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di waktu pertanyaan menteri di Parlimen hari ini.

Selain itu, mulai 1 Januari juga, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak 3 meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya sudah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Kementerian Pendidikan bagi membincangkan strategi dan langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

"Antara langkah yang dijalankan ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

Artikel Berkaitan:

Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

Penguatkuasaan ini menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan kedai peralatan rokok elektronik.