Maqis rampas buahan-buahan dari Myanmar

Maqis dengan kerjasama Kastam berjaya mematahkan cubaan membawa masuk tiga jenis buahan dari Myanmar tanpa sebarang dokumen sah di KLIA2 Sepang semalam.
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan membawa masuk tiga jenis buah-buahan dari Myanmar tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang semalam.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan pada jam 3 petang itu berjaya menemui sebanyak 40 kilogram (kg) buah limau, 47 kg buah mangga dan 30kg buah pisang yang diletakkan di dalam kotak berasingan tanpa permit import.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, penahanan tersebut bertujuan bagi mengawal kemasukan perosak dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika ianya tidak dikawal dengan sebaiknya.

"Hal ini boleh menyebabkan pihak kerajaan menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali," katanya.

Katanya, Maqis sentiasa mengambil langkah serius bagi memastikan kawalan penyakit tumbuhan, haiwan dan ikan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.