SPRM digesa siasat dakwaan ceroboh tanah rizab

Rosli (dua dari kiri) menunjukkan kedudukan bangunan premis yang dibina atas tanah rizab sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.
Rosli (dua dari kiri) menunjukkan kedudukan bangunan premis yang dibina atas tanah rizab sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pencerobohan tanah rizab di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pencerobohan melalui pembinaan struktur bangunan komersial menyebabkan kerja pelebaran susur keluar Jalan Kuching ke Jalan Selayang Baru tergendala dan gagal disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, pelebaran jalan tersebut kepada empat laluan penting bagi menampung keperluan trafik di Pasar Harian Selayang yang bakal beroperasi pada 2020, manakala Pusat Penyembelihan Ayam Halal pada 2021.

“Pelan pelebaran jalan melibatkan tanah rizab berkenaan tetapi tiada penguatkuasaan meroboh struktur bangunan yang dibina secara haram sejak lebih 10 tahun lalu.

“Pemilik premis dilihat kebal meskipun notis perobohan telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kini terdapat pula usaha mengusulkan pertukaran tanah secara land swap kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Rosli mendakwa, tindakan kerjasama PBT itu dilihat bersengkongkol apabila menyokong kesalahan dilakukan pemilik premis berkenaan.

Justeru beliau berkata, laporan kepada SPRM dibuat pada minggu lalu bagi merungkai komplot tersebut.

“Struktur premis yang dibina di tanah rizab dekat sempadan dua negeri ini adalah bangunan kekal dan diberi kebenaran PBT untuk menjalankan perniagaan tanpa sebarang bayaran premium.

Artikel Berkaitan:

“Kami gesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya turun padang melihat sendiri isu ini selari dengan prinsip kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu bebas rasuah.

“Orang politik jangan campur tangan. Disebabkan tiada penguatkuasaan daripada pihak PBT, kerja pelebaran jalan tergendala. Kesesakan teruk berlaku pada masa sekarang terutama pada pagi dan petang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan tangguh projek pelebaran jalan'