Pak guard ketawa dihukum gantung sampai mati

Tertuduh dibawa keluar setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh dua rakan sekerjanya, dua tahun lalu.
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan ketawa ketika Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh dua rakan sekerjanya dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ferdaus Suwardi, 32, yang memakai kemeja T dan berseluar jean turut berbicara sendirian ketika hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah menyebabkan tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, tertuduh mempunyai kecelaruan personaliti antisosial serta masalah penyalahgunaan dadah namun berfikiran waras dan sedar tindakan dilakukannya itu salah di sisi undang-undang.

“Ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh tahu tiada sesiapa berada di lokasi berkenaan, bertindak mengunci pintu dan sedar kedua-dua mangsa sedang tidur.

“Tertuduh meninggalkan tempat kejadian dan pulang ke kampung lalu mengaku melakukan kesalahan itu pada ibunya,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.

Tertuduh didapati bersalah membunuh Wan Amir Hamzah Abu Hassan, 48, dan Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhwan, 23, di sebuah kilang memproses ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Klang.

Kejadian dilakukan pada jam 6.30 pagi hingga 9 pagi, 31 Julai 2017.

Seramai 20 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil dengan 74 eksibit dikemukakan sepanjang lapan bulan kes itu dibicarakan.

Pada 4 Ogos 2017 lalu, dua penjaga kilang memproses ayam ditemui mati dengan kesan tetakan pada seluruh badan.

Mayat kedua-dua mangsa dijumpai bergelimpangan di dalam sebuah bilik oleh anak majikan pada jam 1 tengah hari setelah mereka gagal dihubungi selama tiga hari.