Isu Pasir: Beri ruang kepada MB untuk siasat dan selesaikan

Haslihelmy
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang perlu menjalankan siasatan segera berkaitan dakwaan berlaku monopoli pasir yang didalangi individu berpengaruh di sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan pada pertengahan tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, isu itu sudah pasti akan mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas pendedahan dibuat oleh Permuafakatan Pengusaha Pasir Pahang (PPPP) pagi tadi.

Beliau juga kerajaan sebelum ini tidak mengetahui perkara itu.

"PSAP berharap pihak terbabit tidak menyalahkan kerajaan negeri tetapi dakwaan itu adalah serius dan boleh merosakkan nama baik Wan Rosdy jika tidak diselesaikan segera.

"Jadi berilah ruang kepada Menteri Besar Pahang untuk menyiasat dan menyelesaikan dakwaan itu. PSAP percaya Wan Rosdy merupakan seorang pemimpin yang adil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Pengerusi PPPP, Tengku Rosfaizal Tengku Bahakeri Shah mendakwa kewujudan monopoli oleh pihak tertentu sahaja dalam industri itu memberi kesan kepada pengusaha lain terutama dalam urusan penjualan pasir ke luar negara.

Haslihelmy berkata, penubuhan syarikat itu adalah sebagai keperluan kerajaan negeri menyelaras pengeluaran pasir selain keperluan kepada pihak pentadbiran Pahang agar sumber ekonomi negeri dapat ditadbir urus dengan baik.

"Selain sudut ekonomi, perkara yang melibatkan penjagaan alam sekitar juga merupakan antara aspek yang dititikberatkan Wan Rosdy agar dapat menjamin keseimbangan ekosistem.

"Pasti ada pihak yang pandai mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan bagi mengaut keuntungan untuk diri sendiri," katanya.