Cuaca panas, kering beri kesan kepada orang ramai

Mohamad Azizul menunjukkan pek ais yang kerap dibeli orang ramai di premisnya. Gambar kecil dari kiri: Farid, Junainah
Mohamad Azizul menunjukkan pek ais yang kerap dibeli orang ramai di premisnya. Gambar kecil dari kiri: Farid, Junainah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cuaca panas dan kering ketika ini nyata memberikan kesan kepada orang ramai, terutamanya kepada mereka yang banyak mempunyai urusan di luar rumah.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru mendapati ada dalam kalangan mereka mengalami sakit tekak, demam dan batuk-batuk dipercayai akibat cuaca panas dan kering ketika ini.

Bagi Junainah Arazmi, 46, dia baharu sahaja demam beberapa hari lalu dan turut mengalami sakit tekak.

Malah katanya, dia turut membuat ujian Covid-19 berikutan demam dan batuknya itu, namun keputusannya adalah negatif.

“Saya sendiri baharu baik daripada demam dan sakit tekak...memang kena minum banyak air untuk bantu sejukkan badan.

“Saya juga dah buat ujian swab (swab test) dengan doktor, Alhamdulillah, semuanya negatif.

“Cuaca ketika ini juga terlalu panas...di rumah saya 24 jam pasang aircond (pendingin hawa)...sebab rasa macam ada di ‘sauna’..siang malam buka aircond,” katanya.

Kakitangan swasta, Farid Mohd Zuki, 33, pula berkata, cuaca panas dan kering ketika ini membuatkannya lebih banyak minum air berbanding makan nasi ketika berbuka puasa.

Selain itu katanya, dia juga lebih banyak mandi bagi menyejukkan badan tanpa mengira siang atau malam.

“Betul, cuaca memang agak panas sekarang, saya lebih banyak minum air bukan sahaja masa berbuka, sahur pun sama.

“Bagi saya bila di Pasir Gudang hujan, bahang panas akan ditolak angin ke Iskandar Puteri dan itulah perkara yang menjadikan hawa lebih panas di kawasan ini,” ujarnya

Sementara itu, bagi peniaga, Mohamad Azizul, 29, berkata, jualan ais di premisnya sentiasa habis kerana permintaan yang agak tinggi berbanding sebelumnya daripada orang ramai.

Malah katanya, ada individu yang datang ke premisnya itu dan mengambil dua atau pek ais sekali gus.

“Ais di sini memang selalu cepat habis...semua orang datang untuk beli ais untuk dijadikan minuman ketika berbuka puasa nanti.

“Hari-hari habis (ais batu) ini. Satu orang beli satu, kalau datang satu family, setiap seorang akan bawa aisi,” katanya.