Kementerian Luar Negeri sedia beri kerjasama kepada SPRM

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh yang disyaki menerima rasuah.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian utama kepada aspek integriti dalam kalangan kakitangan awam yang bertugas di perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.

"Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam penyiasatan berhubung kes berkenaan, selari dengan hasrat dan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam membanteras gejala rasuah.

"Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa kedua-dua individu berkenaan merupakan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang sebelum ini ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh," kata kenyataan itu pada Khamis.

Pada Khamis, SPRM telah menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Dua pegawai berkenaan yang masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari bermula Selasa sehingga Khamis.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mereka dihadapkan di mahkamah berkenaan pada Selasa lalu.