Melaka harap termasuk dalam pelan koridor ekonomi baharu

Adly (kiri) bersama Beh Pang Yong, 70, (dua dari kanan) dan Lee Soo Fwee, 65, ketika Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang 2019 Bagi Bulan Mei di Dewan Zamrud di Wisma Negeri Ayer Keroh hari ini.
Adly (kiri) bersama Beh Pang Yong, 70, (dua dari kanan) dan Lee Soo Fwee, 65, ketika Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang 2019 Bagi Bulan Mei di Dewan Zamrud di Wisma Negeri Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri berharap Melaka termasuk dalam pelan pembangunan koridor ekonomi baharu yang bakal menghubungkan Bandar Malaysia, Kuala Lumpur dan Johor.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Melaka dilihat sesuai untuk dilibatkan dalam projek berkenaan berikutan lokasinya terletak di antara kedua-dua negeri tersebut.

"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan ke arah pembangunan projek-projek di kawasan berpotensi terutama lokasi tumpuan di Melaka," katanya.

Adly berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah dan Menang 2019 Bagi Bulan Mei di Dewan Zamrud di Wisma Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pengarah Tanah dan Galian Melaka, Datuk Zaidi Johari.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan akan mewujudkan sebuah koridor ekonomi baharu di Johor yang akan menggalakkan pembangunan sekali gus merangsang aktiviti ekonomi di daerah kecil bermula tahun hadapan.

Menurutnya, Melaka turut mempunyai beberapa cadangan pembangunan seperti pelabuhan Melaka dan kawasan-kawasan industri baharu.

"Kita akan melihat dahulu modul-modul pembangunan yang dibuat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kerana di Melaka memang ada beberapa program pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Ia akan dibincangkan bersama kementerian itu dan berharap Melaka termasuk dalam koridor ekonomi baharu tersebut," katanya.

Sementara itu, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, jumlah kutipan hasil cukai tanah menunjukkan peningkatan positif dengan jumlah kira-kira RM350,000 yang dijelaskan sebelum 31 Mei lalu bagi seluruh negeri Melaka.

Menurutnya, kerajaan negeri juga meluluskan insentif kaunter bergerak untuk kutipan cukai tanah bagi ketiga-tiga daerah bagi menjimatkan masa dan memudahkan orang awam membuat pembayaran cukai tanah dan cukai petak.

Beliau berkata, insentif itu termasuk pengecualian denda lewat semasa hingga 30 Jun lalu, pemberian premium nominal bagi permohonan Lanjut Tempoh Pajakan kepada Kampung Baru tertakluk kepada syarat yang ditetapkan serta pendaftaran hak milik baharu bagi permohonan tanah kerajaan individu dalam tempoh satu Jam selepas pembayaran Notis 5A.

"Usaha ini bagi memudahkan rakyat dalam sebarang urusan berkaitan tanah sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan memacu pembangunan negeri dengan 70 peratus pendapatan negeri adalah daripada hasil tanah.

"Saya berharap semua insentif yang ditawarkan ini dapat direbut dan dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh rakyat di negeri Melaka," katanya.

Pada majlis itu, dua daripada 54 penerima hadiah cabutan bertuah terpilih menerima hadiah utama berupa sebuah motosikal jenis Yamaha dengan peruntukan keseluruhan RM65,000.

Adly dan Hasim (tengah) bersama sebahagian pembayar cukai tanah yang terpilih memenangi hadiah cabutan bertuah pada majlis itu.
Adly dan Hasim (tengah) bersama sebahagian pembayar cukai tanah yang terpilih memenangi hadiah cabutan bertuah pada majlis itu.