Nak elak kena cekup punya pasal!

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki cedera apabila tindakannya memanjat tembok sebuah bangunan bagi mengelak ditahan polis mengundang padah selepas dia terjatuh dalam kejadian di Batu Caves, Gombak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua anggota polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4 petang.

“Anggota berkenaan kemudiannya mengarahkan lelaki berusia 37 tahun itu memberhentikan motosikalnya untuk pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota bertugas mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Gombak pada 22 September lalu," katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Arifai berkata, suspek yang panik kemudian bertindak melarikan diri dengan memanjat tembok bangunan berhampiran, tetapi dia terjatuh.

"Suspek cedera di kaki serta badan dan di bawa ke Hospital Selayang untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun di sebuah premis di Jalan Medan, Batu Caves pada jam 4.30 petang semalam.

“Lelaki terbabit dipercayai ada kaitan dengan kegiatan curi motosikal bersama dengan suspek pertama yang ditahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod membabitkan kes dadah dan jenayah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.