Lelaki cedera van terbabas elak babi melintas

Pemandu van cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di KM343 Jalan Kuala Lumpur ke Kota Bharu pada Isnin. - Foto: PDRM
Pemandu van cedera ringan selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di KM343 Jalan Kuala Lumpur ke Kota Bharu pada Isnin. - Foto: PDRM
A
A
A

RAUB - Gara-gara mengelak babi melintas, seorang lelaki cedera selepas van dipandunya terbabas di Kilometer 343 Jalan Kuala Lumpur ke Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Pasu dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah van jenis Nissan Urban yang dipandu mangsa melanggar sebatang tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Raub, Superitenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, ketika kejadian kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van terbabit dalam perjalanan untuk mengambil jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Apabila sampai di lokasi kejadian tiba-tiba seekor babi telah melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu cuba mengelak sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang elektrik milik TNB lalu terbalik di tengah jalan.

"Ketika kejadian, mangsa yang berusia 32 tahun itu memandu bersendirian dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala serta kerosakan pada kenderaan," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.