Gelongsor air terpanjang dunia kini dibuka

Orang ramai boleh menikmati keseronokan bermain gelongsor paling panjang di dunia di Taman Tema Escape Teluk Bahang.
A
A

BALIK PULAU - Gelongsor air terpanjang di dunia di Taman Tema Escape, Teluk Bahang di sini telah dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula kelmarin.

Gelongsor air sepanjang 1.140 kilometer (km) yang mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record (GWR) September lalu itu terkandung dalam fasa ketiga iaitu Gravity Play.

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape Pulau Pinang, Sim Choo Kheng berkata, gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu telah mengatasi rekod dunia 0.602km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.

Menurutnya, dengan pembukaan Gravity Play itu, pihaknya menjangkakan jumlah pengunjung akan naik 15 peratus daripada 185,000 pengunjung yang direkodkan pada tahun lalu.

“Gelongsor air ini melibatkan kos pembinaan RM5 juta termasuk satu laluan ski lift untuk membawa pengunjung ke puncak bukit. Ia mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan fasa ketiga ini.

“Gelongsor yang dibina di kawasan bukit itu menghubungkan taman permainan Adventure Play dan Water Play. Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak menumbangkan pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Taman Tema Escape oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di sini kelmarin.

Choo Kheng (kiri) bersama Kon Yeow dan Guan Eng (tengah) ketika Majlis Perasmian Pembukaan Taman Tema Escape kelmarin.
Choo Kheng (kiri) bersama Kon Yeow dan Guan Eng (tengah) ketika Majlis Perasmian Pembukaan Taman Tema Escape kelmarin.

Choo Kheng berkata, Taman Tema Escape akan muncul sebagai taman tema pertama di Asia yang menggunakan tenaga yang diperbaharui (renewable energy) pada penghujung tahun hadapan.

“Taman Tema Escape sememangnya sebuah taman tema yang mengutamakan kehijauan alam sekitar apabila kita masih mengekalkan keadaan sebenar lokasi. Selaras dengan itu, kita akan menggunakan tenaga yang diperbaharui melalui sistem panel solar.

“Oleh itu, taman ini dapat mengurangkan sumber tenaga dan menjadi neutral karbon. Ia 100 peratus bergantung kepada teknologi tenaga yang diperbaharui. Ada dua taman tema di Amerika Syarikat menggunakan sistem yang sama namun di Asia, kita yang pertama,” katanya.

Tambahnya, dengan penggunaan sistem panel solar tersebut, pihaknya mampu mengurangkan kos bekalan tenaga elektrik sebanyak 15 peratus.

Pengunjung menikmati keseronokan bermain gelongsor di Taman Tema Escape.
Pengunjung menikmati keseronokan bermain gelongsor di Taman Tema Escape.

“Panel solar akan dipasang di kawasan taman ini dengan keluasan 6,000 kaki persegi dan ia mengambil masa enam bulan hingga setahun. Kita jangkakan ia mula beroperasi pada hujung tahun depan. Syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn Bhd yang akan dipertanggungjawabkan dengan pemasangan ini.

“GSPARX akan menyediakan pengeluaran modal untuk pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar ini selama 25 tahun yang melibatkan pelaburan sehingga RM2 juta. Usaha ini bagi menyokong usaha kerajaan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau,” katanya.

Taman Tema Escape Pulau Pinang mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, flying fox dan kite flyers di Adventure Play dan water slide, lazy river, speed racer serta waveball di Water Play.