KPKT kaji undang-undang di air, pusat rekreasi

Inovasi LiSA membantu mempercepatkan bantuan kecemasan kepada mangsa lemas sementara menunggu kedatangan bomba.
Inovasi LiSA membantu mempercepatkan bantuan kecemasan kepada mangsa lemas sementara menunggu kedatangan bomba.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) sedang mengkaji undang-undang penguatkuasaan keselamatan di air dan rekreasi.

Timbalan menterinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, undang-undang berkenaan akan dikawal selia dan dilaksanakan oleh PBT dan kerajaan negeri masing masing.

Menurutnya, antara yang telah dirangka ialah Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

"Kita menjangkakan semua undang-undang kecil yang telah dikaji akan digazetkan seawal tahun 2020 bagi memastikan tahap keselamatan orang awam berada di tahap paling optimum.

"Ia bergantung kepada pihak yang akan bekerjasama dalam pelaksanaan penguatkuasaan ini dan perlu ada satu standard untuk kawal selianya.

"Undang-undang tersebut membentuk keseragaman di seluruh badan air dan rekreasi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air 2019 di Teluk Cempedak di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad; Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jais Suratman dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid.

Dalam pada itu katanya, semua pemilik badan air sama ada PBT mahu pun agensi diminta memasang papan tanda amaran dengan menggunakan simbol ISO 20712 supaya mudah difahami pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Pemasangan papan tanda berkenaan bertujuan memaklumkan pengunjung, pelancong dan masyarakat awam mengenai bahaya dan risiko yang terdapat di kawasan terbabit.

"Pemasangan papan tanda seragam itu pertama kali dilaksanakan di Malaysia. Begitu juga pemasangan Life Saving Appliances (LiSA) yang merupakan inovasi terbaharu JBPM.

"LiSA bertindak sebagai agen penyelamat di mana ia mempunyai siren yang akan berbunyi untuk memberi amaran pengunjung jika ada kecemasan serta-merta," katanya.

Raja Kamarul Bahrin (tiga dari kanan) membuat demonstrasi penyelamatan di air menggunakan inovasi LiSA sambil diperhatikan Chon Siang (dua dari kiri) dan Nor Hisham (kanan sekali).
Raja Kamarul Bahrin (tiga dari kanan) membuat demonstrasi penyelamatan di air menggunakan inovasi LiSA sambil diperhatikan Chon Siang (dua dari kiri) dan Nor Hisham (kanan sekali).