'Penutupan lorong tambah nilai susahkan rakyat'

Kenyataan Ismail Sabri berhubung isu penutupan lorong tambah nilai Touch 'n Go di Lebuhraya Plus.
Kenyataan Ismail Sabri berhubung isu penutupan lorong tambah nilai Touch 'n Go di Lebuhraya Plus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ramai pengguna melahirkan rasa tidak puas hati berikutan ketiadaan urusan tambah nilai kad Touch 'n Go di setiap plaza tol di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran tol tanpa tunai mungkin kedengaran bagus, namun ia bukanlah masa sesuai berikutan kemudahan tambah nilai yang ada di Malaysia belum lengkap dan efektif sepenuhnya.

Menurutnya, perkhidmatan tambah nilai Touch 'n Go dalam talian iaitu e-wallet, juga tidak dikuatkuasakan di semua susur keluar tol menyebabkan pengguna tidak boleh keluar dari lebuh raya.

"Ada juga yang terpaksa meninggalkan kereta di plaza tol dan berjalan kaki untuk ke stesen minyak berdekatan bagi mendapatkan tambah nilai Touch 'n Go.

"Ada juga yang datang dari luar bandar dan menempuh lebuh raya di Lembah Klang tidak mengetahui bahawa mereka perlu melalui tol tanpa bayaran tunai.

"Orang kampung terpinga-pinga kerana tidak mendapat maklumat secukupnya dan tidak pasti cara untuk menambah nilai Touch 'n Go mereka," katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan berkenaan tidak menggambarkan sebagai negara berkebajikan dan efektif, sebaliknya menganiayai rakyat.

Artikel Berkaitan:

Deretan kenderaan tanpa pemandu di salah satu lorong keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka selepas pengguna terpaksa menambah nilai kad Touch 'n Go di pejabat plaza berkenaan. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman
Deretan kenderaan tanpa pemandu di salah satu lorong keluar Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka selepas pengguna terpaksa menambah nilai kad Touch 'n Go di pejabat plaza berkenaan. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman

"Sehingga hari ini, tiada seorang pun menteri bersuara termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Menteri Kewangan yang terlibat dengan Plus (Malaysia Bhd) juga banyak berdiam diri dan menikus di Putrajaya.

"Saya hairan sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, ada sahaja perkara yang menyusahkan rakyat dan merugikan negara, tidak termasuk isu lain yang penuh dengan cadangan dan keputusan kerajaan yang sangat caca-marba.

"Sudahlah janji nak hapuskan tol tidak ditunaikan, sebaliknya menghapuskan tambah nilai di kesemua plaza tol. Janji hanya tinggal janji, yang tinggal hanyalah ‘janji dapat menyusahkan rakyat'," katanya.

Kata Ismail Sabri, Plus perlu melaksanakan sistem tambah nilai efektif terlebih dahulu serta memastikan gerak kerja penyampaian maklumat berkesan sebelum mengambil sebarang keputusan melibatkan rakyat di negara kita.

"Oleh kerana kerajaan PH gagal hapuskan tol, jangan pula Plus bertindak sesuka hati menyusahkan pengguna jalan raya iaitu rakyat di negara ini," katanya.