'Usaha pembangkang jatuhkan Kerajaan Perpaduan susahkan rakyat'

Shahrul Nasrun
Shahrul Nasrun
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan memberi impak besar kepada rakyat dan negara sekali gus menyebabkan politik negara tidak stabil serta kerajaan dilihat lemah.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, tiga impak besar tersebut adalah kurangnya keyakinan pelabur luar untuk melabur dalam negara, kemerosotan penilaian prestasi negara dan pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 terbantut.

"Kemasukan pelabur luar sudah semestinya hadir bersama peluang pekerjaan. Ketidakstabilan politik yang wujud ini akan menyebabkan pelabur luar tidak yakin melabur sekali gus menghilangkan peluang pekerjaan sepatutnya dinikmati oleh rakyat di negara ini.

"Setelah mengharungi pelbagai isu di peringkat global, negara kita baru sahaja memulakan nafas serta langkah baharu untuk memulihkan prestasi negara di mata dunia namun gerakan dilakukan pembangkang ini akan memperlihatkan bahawa negara masih tidak mencapai kestabilan politik walaupun telah melalui proses demokrasi memilih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

"Jadi, pasaran saham juga akan merudum dengan pelbagai spekulasi pembangkang tidak bertanggungjawab itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shahrul Nasrun berkata, pelbagai usaha kerajaan lakukan bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan semula setelah beberapa tahun mengharungi era Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha berkenaan sudah semestinya akan terbantut dengan gerakan serta usaha yang dilakukan pembangkang untuk menjatuhkan serta merampas kedudukan Kerajaan Perpaduan sedia ada.

Ujarnya, suasana politik tidak stabil tersebut akan menyukarkan usaha kerajaan untuk menarik pelabur serta menetapkan sebarang polisi ekonomi bagi memulihkan ekonomi negara.

"Perkara ini sudah semestinya akan menyebabkan negara akan kehilangan peluang pelabur serta pendapatan negara yang berjumlah berbilion ringgit. Cukai pelaburan ini juga sepatutnya dapat digunakan untuk memberikan kesenangan kepada rakyat," jelasnya.

Justeru, Shahrul Nasrun menasihatkan pembangkang supaya menjadi pembangkang yang membawa hasrat rakyat serta menjadi pengimbang dalam pentadbiran.

Menurutnya, jadilah pembangkang yang berwibawa dengan memberikan cadangan dan teguran dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan stabil.

"Janganlah menjadi pembangkang yang hanya tahu menghasut rakyat dan tamakkan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan serta mengambil alih kerajaan kerana yang akan merana di kemudian hari juga adalah rakyat.

"Sesebuah negara akan bertahan lama dan dilihat berjaya jika golongan elit sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat bekerjasama dengan baik dalam membina sebuah negara tercinta," jelasnya.

-- TAMAT