Rondaan mengejut seluruh negeri

 Kerajaan negeri memberi amaran tegas kepada semua pengusaha premis makanan agar mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat.
Kerajaan negeri memberi amaran tegas kepada semua pengusaha premis makanan agar mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri memberi amaran tegas kepada semua pengusaha premis makanan agar mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pasukan petugas akan membuat rondaan berjadual dan mengejut terutama di kawasan berisiko tinggi dan bertindak di atas maklumat orang awam.

Menurutnya, sepanjang tempoh tiga hari penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengeluarkan sebanyak 398 notis amaran Penguatkuasaan Pendidikan di seluruh negeri.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 70 notis amaran dikeluarkan bagi kesalahan Peraturan 11 (1) (d) kerana merokok di premis makanan.

Manakala sebanyak 297 notis amaran turut dikeluarkan kepada kepada pemilik premis kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

“Kita juga mengeluarkan sebanyak 31 notis amaran di bawah Peraturan 12(1)(b) kerana menyediakan bekas abu rokok serta membenarkan perokok merokok di dalam premis dan kawasan yang diwartakan.

“Kita berharap pemilik premis dan orang ramai yang bukan perokok dapat menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing untuk menyedut udara yang bebas daripada asap rokok dan mengelakkan diri daripada terdedah bahaya lebih 4,000 jenis bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Larangan Merokok di Medan Selera Penghulu Cantik dekat sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ahamad Jusuh.

Beliau berkata, JKN telah menggerakkan kesemua pegawai diberi kuasa untuk menguatkuasakan Peraturan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau ( pindaan 2018).

Katanya, pihak jabatan juga telah menyusun pasukan penguatkuasa untuk bertugas pada setiap hari bermula 1 Januari lalu, sehingga enam bulan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi mendidik pemilik premis dan orang ramai agar mematuhi perundangan yang telah diwartakan.

“Mereka (pengusaha premis) yang ingkar boleh dikenakan kompaun RM250, dan jika gagal membayarnya boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau penjara enam bulan,” katanya.