Warga emas hilang lima hari belum ditemui

Asrah Salleh
Asrah Salleh
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang warga emas yang keluar dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Kampung Sungai Tengar, di sini, yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu masih belum ditemui.

Zulkifli Asrah, 54, berkata, bapanya, Asrah Salleh, 85, dikesan hilang kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang adiknya yang menetap di Sungai Besar.

"Ayah tinggal berdua dengan mak saya di kampung dan kemungkinan dia hilang ketika ingin keluar minum di kedai makan.

"Ayah sebelum ini pernah hilang tapi alhamdulillah, dia ditemui dalam tempoh singkat berbanding kehilangannya kali ini," katanya.

Katanya, bapa enam anak itu meninggalkan rumah sehelai sepinggang dan hanya menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna hitam.

"Ayah seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Penduduk kampung amat mengenalinya," katanya.

Katanya, keluarganya bimbang dengan keselamatan bapa mereka dan usaha mencari serta mengesan Asrah giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah melakukan pencarian di beberapa lokasi antaranya di kawasan kampung termasuk di Bagan Datoh Perak.

"Saya bimbang dengan keselamatan ayah dan berharap dia ditemui kembali. Kami sedih namun reda dengan kejadian ini," katanya.

Zulkifli bagaimanapun turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan penduduk kampung.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi Zulkifli di talian 017-3493451 atau adiknya 013-2218609 (Ismail).