Warga emas dilapor hilang ditemui selamat

Lelaki warga emas berusia 62 tahun ditemui selepas dilaporkan hilang di kawasan belakang Kampung Bangau Tanjung di Temerloh pada Sabtu. - Foto ihsan JBPM
Lelaki warga emas berusia 62 tahun ditemui selepas dilaporkan hilang di kawasan belakang Kampung Bangau Tanjung di Temerloh pada Sabtu. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

TEMERLOH - Detik cemas sebuah keluarga apabila bapa mereka dilaporkan hilang di kawasan belakang Kampung Bangau Tanjung di sini berakhir apabila lelaki berusia 62 tahun itu ditemui selamat pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.44 malam.

Menurutnya, enam anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama sebuah jentera dikejarkan tempat kejadian.

"Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki warga emas telah hilang di kawasan belakang kampung tersebut.

"Pihak bomba mendapat maklumat daripada anak mangsa menyatakan bapanya nyanyuk dan tidak dapat mengenal pasti lokasi dia berada namun boleh dihubungi melalui talian telefon," kata beliau dalam kenyataan pada tengah malam Sabtu.

Ujar beliau, pasukan bomba, 10 anggota polis dan 15 orang awam bersama-sama mencari mangsa di sekitar kawasan terbabit.

"Mangsa akhirnya dijumpai pada jam 10.56 malam dan diserahkan kepada keluarganya," tambah beliau.