Eksekutif didakwa arah bunuh dua wartawan ditahan

Ketua Polis Sumatera Utara Agus Andrianto menanyakan soalan kepada beberapa individu berhubung pembunuhan dua wartawan Indonesia yang mayat mereka ditemui dalam parit minggu lalu. - Foto AFP
A
A

JAKARTA - Seorang eksekutif syarikat minyak sawit Indonesia ditahan berikutan dakwaan mengarahkan pembunuhan dua orang wartawan yang menjadi pengantara dalam pertikaian tanah antara syarikatnya dan penduduk tempatan.

Pihak berkuasa Sumatera Utara berkata, pihaknya menahan Wibharry Padmoasmolo atas dakwaan menjadi dalang pembunuhan Maraden Sianipar dan rakan sejawatnya, Maratua Siregar.

Wibharry dikatakan membayar hampir AS$3,000 (RM12,399) kepada empat lelaki untuk melaksanakan pembunuhan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua wartawan mati ditikam di Indonesia

Mayat kedua-dua wartawan terbabit yang dipenuhi kesan tikaman ditemui dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit di Labuhan Batu wilayah Sumatera Utara minggu lalu.

Wibharry yang ditahan bagaimanapun menafikan memiliki syarikat yang terlibat dalam pertikaian dengan penduduk tempatan yang diwakili kedua-dua mangsa berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, pembunuhan bertujuan untuk menghentikan penglibatan mangsa dalam pertikaian.

Setakat ini, lima orang dilaporkan telah ditahan berhubung pembunuhan terbabit dan pihak polis masih mengesan beberapa lagi suspek.

"Kami masih mengesan beberapa suspek, setakat ini lima suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut," kata Ketua Polis Sumatera Utara Agus Andrianto. - AFP