Anugerah Maulidur Rasul pemangkin semangat Lam Thye

Para penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan (dari kiri) Ahli Akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Aktivis Kemanusiaan Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Jabatan Syariah Kelantan Datuk Seri Daud Muhammad, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim bergambar ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2019M di Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Para penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan (dari kiri) Ahli Akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Aktivis Kemanusiaan Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Jabatan Syariah Kelantan Datuk Seri Daud Muhammad, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim bergambar ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2019M di Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT JALIL - Bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menganggap Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 diterimanya hari ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha beliau selama ini.

Lam Thye berkata, anugerah itu menaikkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai aktivis masyarakat yang menumpukan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Hampir 45 tahun saya berkhidmat kepada negara dan masyarakat terutamanya dalam aspek memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai betapa pentingnya mengamalkan budaya keselamatan.

“Jadi baru-baru ini saya telah mewujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru dinamakan Ikatan Komuniti Selamat.

"Fokusnya untuk mendidik semua lapisan masyarakat tak kira kaum agama supaya mereka akan menjadi lebih prihatin tentang aspek-aspek keselamatan yang amat diperlukan untuk pastikan kesejahteraan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Beliau yang segak berbaju Melayu biru dan bersongkok menganggap anugerah itu juga pemangkin semangatnya untuk maju ke hadapan bersama NGO baru pimpinannya itu.

“Kami berusaha dan bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk meneruskan sumbangan saya kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada Lam Thye dan penerima lain.

Artikel Berkaitan:

Turut menerima anugerah ialah Pakar Perundangan Syariah, Datuk Daud Muhammad yang dianugerahkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2019.

Selain itu, Ahli Akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Pelopor Hospital Mesra Ibadah, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid juga tersenarai sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul menerima wang tunai berjumlah RM 50,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul pula mendapat RM 20,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lam Thye, Cikgu Azmi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul 2019