Amalan membaca perlu dipraktikkan seluruh warganegara - Lam Thye

Lam Thye ketika menerima anugerah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Lam Thye ketika menerima anugerah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
A
A
A

SHAH ALAM - Anugerah Perdana ‘Tokoh Aktivis Masyarakat Terbilang’ disifatkan sebagai pengiktirafan istimewa sempena menghargai pengeluaran terbitan buku-buku tulisan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye sepanjang perkhidmatannya di dalam pelbagai organisasi.

Lam Thye berkata, anugerah pengiktirafan daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara itu yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, benar-benar memberi makna besar kepadanya.

“Dengan anugerah ini, diharapkan dapat menjadi teladan kepada seluruh masyarakat bahawa amalan membaca sepanjang hayat adalah sesuatu yang harus dipraktikkan oleh seluruh warganegara Malaysia.

“Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dan memilih saya sebagai penerima anugerah.

“Secara peribadinya, saya menganggap anugerah ini sebagai satu pengiktirafan istimewa kepada saya bersempena buku-buku yang telah saya keluarkan sepanjang saya berkhidmat di pelbagai organisasi seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Yayasan Eco World serta Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Yayasan Pembangunan Buku Negara memilih Lam Thye sebagai penerima Anugerah Perdana ‘Tokoh Aktivis Masyarakat Terbilang’ pada Majlis Anugerah Buku Negara 2023.

Menurut Lam Thye, pelbagai artikel telah beliau keluarkan yang menyentuh mengenai isu-isu masyarakat, dan terdapat koleksi penulisannya turut dijadikan sebagai buku untuk rujukan pihak-pihak lain.

“Baru-baru ini juga saya telah mengeluarkan biografi saya yang merekodkan perkhidmatan dan sumbangan saya melebihi 50 tahun saya berkhidmat dalam segala aktiviti berkaitan negara dan masyarakat.

“Buku terbitan saya berjudul Aura Lee Lam Thye, mengisahkan tentang fungsi sebenar wakil rakyat dan juga saya menyentuh tentang aspek kesukarelaan perpaduan, alam sekitar yang pada saya amat penting.

“Segala sumbangan tentang kerja-kerja aktivis saya rangkumkan dengan terperinci dalam buku terbaharu saya ini,” katanya.