'Kenyataan di luar konteks, video penuh lebih 20 minit'

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengulangi pendirian bahawa kenyataannya sepertimana dalam video tular semalam dipetik di luar konteks.

Beliau berkata, klip terbabit hanya memaparkan sekitar enam minit perbualannya bersama penduduk setempat di Parlimen Tanjung Piai sedangkan video penuh berdurasi lebih 20 minit.

Menurutnya, dalam ucapan awal itu, beliau memberikan gambaran mengenai apa yang telah disampaikan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

"Apa yang saya cuba lakukan adalah mahu menarik perhatian mereka (penduduk) terhadap apa yang nak saya katakan selepas itu iaitu untuk menyokong PH dan calon kami.

"Tetapi entah kenapa hanya beberapa komen saya mengenai rakan parti komponen dalam Kabinet sahaja yang telah dinaikkan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak nafi ada masalah dengan DAP

Kandungan klip video tular itu menunjukkan Ahmad Faizal mendedahkan bahawa dirinya terpaksa berlawan dengan DAP di Perak dan usaha mempertahankan tanah Melayu serta agama Islam dilakukan berseorangan dengan bantuan rakan-rakan dalam UMNO.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak kemudiannya menafikan mempunyai masalah dengan DAP di Perak dan menegaskan klip video yang tular itu hanya memetik sebahagian kata-katanya dan bukan keseluruhan perbualan.

"Saya mengatakan bahawa banyak perkara yang dilalui di Perak dan terdapat cubaan daripada pemimpin DAP yang mahu menjatuhkan saya.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi apa yang penting adalah kami bekerja rapat bersama-sama," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.