Keputusan sampel babi hutan di Melaka diketahui minggu depan

Laporan Sinar Harian Khamis lalu.
A
A

MELAKA TENGAH - Keputusan ujian forensik terhadap sampel darah babi hutan yang diambil di sekitar Pulau Besar di sini berhubung dakwaan pertambahan populasi haiwan itu di kawasan terbabit dijangka diketahui minggu depan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, sampel darah lima babi hutan yang dihapuskan pada Khamis lalu dalam Operasi Kawalan Basmi Babi Hutan Konflik telah dihantar ke Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik Perhilitan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia bagi mencari jawapan pengesahan mengenai spesies hidupan liar itu sama ada Sus Barbatus dari Indonesia atau Sus Scrof dari Malaysia.

“Setakat ini, spesies Sus Barbatus memang tiada di Melaka dan difahamkan ia ada di Johor, lagipun jarak Pulau Besar dengan Pulau Rupat memang jauh. Bangkahulu, Indonesia ke Pulau Undan di sini pun jauh lebih 50 hingga 60km.

“Berdasarkan kajian saintifik, babi hutan hanya mampu berenang sejauh lebih kurang 16km satu hala dan haiwan liar itu pada kebiasaannya akan berenang mengikut arus laut,” katanya.

Katanya, sehingga kini terdapat enam kumpulan babi hutan mendiami Pulau Besar dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 85 hingga 100 ekor dan hidupan liar itu akan bergerak ke kawasan sekitar secara berkumpulan.

Semalam media melaporkan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail sebagai berkata, tiada bukti atau laporan spesifik menyatakan peningkatan populasi babi hutan di Pulau Besar adalah disebabkan migrasi haiwan itu dari Sumatera, Indonesia, namun kajian mengenai dakwaan pertambahan populasi haiwan di kawasan terbabit perlu dilakukan.

Pada 5 September lalu sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai berkata, babi hutan berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera dan singgah di Pulau Besar sebelum berenang ke Melaka sehingga menyebabkan populasi haiwan itu meningkat.

Khamis lalu akhbar sama melaporkan populasi babi hutan di negeri ini tinggi serta membimbangkan di 30 kawasan namun dinafikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari semalam yang menegaskan populasi haiwan itu terkawal dan tidak memberi ancaman kepada penduduk. - Bernama