PRN: PN muktamadkan agihan kerusi minggu depan

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG - Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini pada minggu depan.

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN selepas menerima keputusan perbincangan daripada Jawatankuasa Perundingan antara Parti.

"Apa yang boleh saya katakan perbincangan sesama kita di peringkat negeri-negeri berjalan dalam suasana harmoni dan mesyuarat tersebut akan memutuskan bilangan kerusi yang akan ditandingi PAS, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

Naib Presiden Pas itu berkata, demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN juga akan mengumumkan beberapa nama besar daripada pelbagai parti politik yang bakal menyertai gabungan itu, awal bulan depan.

Ditanya sama ada nama-nama besar itu akan diangkat sebagai calon PN pada PRN, beliau berkata, ia bergantung kepada kesesuaian kawasan dan penerimaan rakyat selain menegaskan apa yang penting adalah kemenangan untuk gabungan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. - Bernama