Bina lebih banyak Rumah Selangorku bawah RM100,000

Hanafi
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri memperbanyakkan Rumah Selangorku jenis A dan B yang masing-masing berharga antara RM42,000 hingga RM100,000.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, melalui langkah itu kerajaan Selangor dapat mengimbangi kepentingan golongan B40 dan M40 bagi memastikan golongan berkenaan dapat membeli rumah sendiri.

Menurutnya, keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri cukup tinggi di Selangor, namun pada masa sama jurang pendapatan isi rumah berbanding kos sara hidup semakin membimbangkan.

"Sekiranya kerajaan negeri hanya memberi fokus membina Rumah Selangorku jenis C dan D yang berharga antara RM200,000 hingga RM250,000, ia dilihat dapat menghilangkan kelayakan rakyat negeri ini yang berada dalam kumpulan B40," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hanafi turut menggesa kerajaan Selangor menjelaskan kepada rakyat jumlah keseluruhan Rumah Selangorku jenis A dan B yang bakal dibina menerusi Belanjawan Selangor 2020 yang dibentang baru-baru ini.

Menurutnya, projek Rumah Selangorku yang bermula sejak legasi kepimpinan Pakatan Rakyat pada 2017 lalu adalah langkah terbaik dan menjadi bukti penjagaan kebajikan golongan B40 dan M40 dalam negeri ini.

"Ia juga mampu memberi impak tinggi dalam meringankan beban rakyat yang terpaksa menghadapi isu kos memiliki rumah cukup tinggi.

"Pemuda Pas memuji langkah kerajaan negeri meneruskan projek Rumah Selangorku dalam Belanjawan kali ini dan mengharapkan cadangan kami diberi perhatian serius sebagai langkah peningkatan kualiti penjagaan kebajikan rakyat," katanya.